Mulai 1 Januari 2019, semua premis makanan termasuk warung tepi jalan adalah zon larangan merokok

Posted on

Loading…

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengeluarkan arahan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan di negara ini berkuatkuasa 1 Januari 2019.
Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata cadangan terbabit sudah diluluskan di peringkat Parlimen dan akan berkuatkuasa tahun depan.
Menurutnya, selain kawasan yang sedia maklum seperti tempat awam dan bangunan kerajaan, arahan larangan merokok kini membabitkan semua restoran dan premis makanan termasuk warung-warung makanan di tepi jalan.
“Kita sedar arahan ini sudah lama wujud namun hanya membabitkan restoran-restoran tertentu sahaja.
“Tetapi kali ini, semua restoran tidak kira sama ada restoran bertutup, berhawa dingin, atau restoran dan warung berkonsep terbuka (open air) perlu mematuhi arahan ini bermula tahun depan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan program International Conference on Life Style Disease (AICLSDs) di Universiti Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST), di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Naib Canselor dan Ketua Eksekutif Universiti AIMST, Profesor Emeritus Dr Harcharan Singh Sidhu.
Dr Lee berkata, tindakan akan diambil terhadap perokok dan juga pemilik restoran yang tidak mematuhi peraturan terbabit mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan hasil Tembakau 2004 di bawah Akta Makanan 1983 (Akta 324).
Katanya, pihak kementerian juga tahu akan timbul pelbagai reaksi atau bantahan daripada perokok dan juga pemilik restoran berikutan arahan ini namun pihak kementerian tidak akan berkompromi apabila ia membabitkan aspek kesihatan rakyat di negara ini.
“Masyarakat bukan perokok berhak menikmati makanan mereka tanpa gangguan pencemaran asap rokok yang boleh menjejaskan keselesaan dan kesihatan mereka.
“Peniaga juga tidak perlu risau akan risiko kekurangan pelanggan kerana kita yakin pelanggan akan lebih ramai kerana berasa selesa tanpa gangguan asap rokok,” katanya.
Beliau berkata, ini adalah antara usaha KKM untuk memastikan rakyat Malaysia terhindar daripada penyakit yang berpunca daripada asap rokok.
“Situasi ini sekali gus diharap dapat mengurangkan perbelanjaan kerajaan dalam aspek kos rawatan pesakit yang berpunca daripada asap rokok,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *